arena

Momota liat lagi...

Oleh Ferzalfie Fauzi

MASIH jauh untuk menyamai pencapaian Kento Momota, ujar perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia selepas dia tumpas 10-21, 19-21 dalam saingan separuh akhir Masters Malaysia hari ini.

Zii Jia mengakui bahawa semuanya sudah dilakukan pada aksi di Arena Axiata itu namun pemain nombor satu dunia itu liat untuk ditumbangkan walaupun mendapat sokongan padu peminat tempatan.

“Tengok dalam perlawanan tadi (semalam) masih jauh permainan saya berbanding di dia (Momota). Dia terlampau tenang dan menikmati permainan dengan baik sekali walaupun di set kedua saya sudah cuba sehingga mencecah mata 19,” katanya.

Pemain kelahiran Kedah itu mengakui Momota langsung tidak takut dengan ancamannya dan apa yang berlaku hari ini harus dilupakan kerana mahu memberi tumpuan menjelang Masters Indonesia.

“Secara keseluruhan saya mempunyai peningkatan prestasi di kejohanan ini dan harap akan ada lagi perbezaan yang baik di Indonesia. Saya akan bincang dengan jurulatih untuk melihat apa lagi perlu dipertingkatkan.

“Bagaimanapun, dari segi keputusan perlawanan kesemua perlawanan ini adalah permulaan baik buat saya kerana tahun lalu saya hanya sampai ke peringkat suku akhir,” katanya.

Pemain berusia 22 tahun itu menumpaskan pilihan ketiga Anders Antonsen di pusingan pertama dan menghantar pulang naib juara dunia 2018, Shi Yuqi dari China di suku akhir kelmarin.

Ini adalah kali keenam Zii Jia tumpas di tangan Momota dan kesemuanya berakhir dengan keputusan straight set.

Disiarkan pada: January 11, 2020 @ 9:15pm
d