arena

Hantar terkuat ke Piala Thomas

Oleh Ferzalfie Fauzi

PEMAIN profesional berpeluang untuk beraksi di Piala Thomas Mei depan selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bertekad untuk menghantar skuad terkuat ke Aarhus, Denmark.

Menurut Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, pemain profesional tetap mewakili negara.

“Sekarang kita sudah nampak kemampuan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (beregu lelaki) dan Soong Joo Ven (perseorangan lelaki). Jadi apabila masanya sudah tiba kita sentiasa memikirkan mengenai hanya yang terbaik mewakili negara,” katanya selepas Mesyuarat Majlis BAM hari ini.

Bagaimanapun, mengenai pemilihan pemain beliau akan menyerahkan ke bahagian teknikal termasuk Pengarah Kejurulatihan, Wong Choong Hann untuk membuat keputusan.

“Kami memang mahu meletakkan skuad terkuat dan saya menyerahkan perkara ini kepada Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T). Hanya yang terbaik mewakili negara dan walaupun mereka pemain profesional, tapi tetap pemain Malaysia.

“Kami mahu persaingan yang sihat antara pemain BAM dan profesional. Saya suka melihat keadaan sekarang di mana pemain senior (profesional) dan muda bersaingan untuk mewakili negara," katanya.

Disiarkan pada: January 11, 2020 @ 10:12pm
d