arena

PFA belum 'mati'

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PERSATUAN Bolasepak Perlis (PFA) yang digambarkan sudah terkubur dan 'mati' adalah tidak tepat sekalipun sedang menjalani hukuman penggantungan daripada menyertai sebarang liga bola sepak dalam negara oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sejak awal tahun lalu.

Presiden PFA yang baru, Zamri Ibrahim berkata, dia bersama barisan jawatankuasa PFA bagi sesi 2020 masih lagi berjuang bagi menghidupkan kembali sukan bola sepak di Perlis.

Menurutnya, walaupun menerima hukuman penggantung itu bukan bererti kesemuanya sudah boleh menutup buku.

"Nak kata kita (PFA) sudah mati tu, tidak benarlah dan setakat ini belum lagilah (terkubur). Kalau dah mati, kita dah tutup buku dan tak ada kita semua nak hadir Kongres Luar Biasa (EGM) PFA pagi Ahad macam ini.

"Kita akui sekarang ini sedang digantung (oleh FIFA) tetapi PFA akan bertemu dengan FAM sekali lagi (Persatuan Bolasepak Malaysia) bagi membincangkan langkah agar hukuman itu boleh diringankan melalui rayuan rasmi kepada FIFA.

"Secara logiknya, bagaimana kita hendak cari wang jika semua aktiviti dan pertandingan PFA tidak boleh anjur dan sertai. Sekurang-kurangnya kena ada ruang sedikitlah untuk PFA berbuat sesuatu," katanya pada sidang media EGM PFA di Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis hari ini.

Zamri yang sebelum ini pernah memegang jawatan Timbalan Presiden PFA juga berkata, di bawah pengurusan PFA yang baru, pihaknya mahu memberi fokus untuk menyelesaikan masalah dalaman terlebih dahulu sebelum melangkah ke peringkat pembentukan pasukan.

"Ya, memang kita nak tumpukan dahulu masalah kewangan dan hutang PFA yang tertunggak sebelum kita bincangkan mengenai pasukan Singa Utara.

"Kita akan teliti semula semua tuntutan hutang yang betul-betul mematuhi kontrak dan selari dengan undang-undang menurut FAM, yang jadi masalah apabila penuntut hutang hanya kemukakan angka tanpa bukti kukuh atau resit dan mereka (penuntut) tidak boleh jangkakan perkara ini akan selesai dalam jangka masa terdekat," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan bekas pemain kebangsaan era 80-an dan Perlis, Bakri Ibni beranggapan kemelut yang melanda PFA hingga kini tiada jalan penyelesaian sekali gus menyaksikan pasukan itu boleh melupakan untuk kembali beraksi dalam kancah Liga Malaysia.

Mengulas kenyataan Bakri itu, Zamri berkata dia menghormati pandangan lagenda bola sepak Singa Utara itu dan menerimanya dengan hati yang terbuka.

"Ada betulnya dan saya tidak nafikan 100 peratus apa yang dibidasnya kerana ada juga benda yang benar.

"Saya hormati pandangannya tetapi seperti yang saya katakan tadi, tidak tepatlah kalau nak kata PFA dah mati dan berkubur," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pada kejohanan Sukan Malaysia 2020 (SUKMA 2020) di Johor nanti, PFA tetap menghantar pasukannya bagi menyertai kejohanan itu.

Barisan kepimpinan PFA yang baharu

Presiden : Zamri Ibrahim

Timbalan Presiden: Abdul Ghafur Hanafi

Naib Presiden:

1. Afifi Osman

2. Adam Abdullah

3. Datuk Ismail Osman

Jawatankuasa Eksekutif:

1. Norshahril Bakar

2. Mohd Khomeini Halipah

3. Ahmad Shuhaimi Kassim

4. Muhamad Kaironnisam Sahabudin Hussain

5. Mohd Norhanizam Hamzah

6. Saiful Adli Sukhaimi

7. Ku Hasnol Farid Ku Abd Rahman

8. Alzafry Abu Bakar

9. Faizal Ismail

10. Sabri Ismail

Disiarkan pada: January 12, 2020 @ 3:12pm
d