arena

Real Madrid juara Piala Super

Oleh Reuters

REAL Madrid menewaskan seteru bandar Atletico Madrid, 4-1 dalam penentuan penalti selepas seri tanpa jaringan sebaik tambahan masa perlawanan berakhir untuk memenangi edisi pertama Piala Super Sepanyol yang diubah ke Arab Saudi, pagi ini.

Kapten Sergio Ramos menyempurnakan penalti keempat dengan penuh ketegangan buat Real selepas Dani Carvajal, Rodrygo Goes dan Luka Modric berjaya melengkapkan jaringan buat pasukan itu.

Sementara Saul Niguez dan Thomas Partey gagal menyempurnakan penalti buat Atletico, dengan Kieran Trippier menjaringkan gol buat mereka.

Penjaga gol Atletico, Jan Oblak dan rakan yang menjaga gawang di Real, Thibaut Courtois beraksi cemerlang dalam 90 minit permainan sehingga memaksa perlawanan berlanjutan ke masa tambahan buat final kali kelima berturut-turut membabitkan seteru bandar itu sejak 2013.

Pemain tengah Real, Federico Valverde dibuang padang pada minit ke 115 kerana mengasari Alvaro Morata namun skuad kendalian Zinedine Zidane berjaya menahan asak sehingga berakhir masa perlawanan dan kemenangan ditentukan menerusi penentuan penalti.

Ia kali ke 11 Real memenangi Piala Super, di mana acara pembukaan tradisi membabitkan pemenang liga dan piala sebelum kejohanan diubah kepada empat pasukan oleh persekutuan kebangsaan dan berpindah ke Arab Saudi dengan perjanjian selama tiga tahun yang laporkan bernilai 120 juta Euro (RM544.02 juta).

Disiarkan pada: January 13, 2020 @ 6:30am
d