arena

Neymar gagal bantu PSG catat kemenangan

Oleh AFP

NEYMAR meledak dua gol dan mencipta satu lagi jaringan namun pendahulu liga, Paris Saint-Germain terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 3-3 berdepan Monaco dalam perlawanan menghiburkan di gelanggang sendiri.

Monaco beraksi dengan perlawanan pertama Ligue 1 di bawah kendalian jurulatih baharu Robert Moreno.

Bintang Brazil, Neymar memberikan PSG gol pendahuluan hanya dua minit di Parc des Princes namun Monaco menjaringkan dua gol pantas menerusi Gelson Martins dan Wissam Ben Yedder untuk mendahului 1-2 ketika 15 minit permainan.

Jaringan sendiri Fode Ballo-Toure membolehkan PSG menyamakan kedudukan dan Neymar menggandakan kelebihan dari penalti hanya sebelum rehat susulan kekasaran ke atas Kylian Mbappe.

Namun Monaco, yang akan melayan kunjungan PSG sekali lagi Khamis ini dalam jadual yang diubah semula, menyamakan kedudukan selepas jaringan kontroversi Islam Slimani disahkan sekalipun pada awalnya didapati ofsaid.

“Kami tidak memberi persembahan terbaik tetapi kami tetap mencuba. Ia ujian yang bagus. Monaco mempunyai pemain bagus tetapi kami mempunyai kelebihan dan kami harus menunjukkannya di atas padang,” kata Neymar.

“Jika kami beraksi pada peringkat terbaik kami mungkin merampas tiga mata.

“Saya fikir pada gol ketiga, bahawa pemain pertahanan kami menolak bola tetapi keputusan tetap daripada pengadil. Mereka mempunyai VAR untuk itu, kami tidak boleh membuat bantahan. Kami juga tidak sempurna pada malam ini.”

Disiarkan pada: January 13, 2020 @ 10:03am
d