arena

Brigid sah penyertaan di Maraton London

Oleh Reuters

PEMEGANG rekod dunia acara maraton wanita, Brigid Kosgei akan kembali mempertahankan kejuaraan pada acara Maraton London tahun ini menurut jurucakap penganjur.

Atlet Kenya, Brigid mengekalkan kejuaraan Maraton Chicago Oktober lalu dalam masa dua jam, 14 minit dan empat saat untuk memecah rekod dunia selama 16 tahun milik pelari Britain, Paula Radcliffe.

Pencapaian rekod Brigid berkenaan hadir enam bulan selepas atlet berusia 25 tahun itu memenangi acara Maraton London buat pertama kali dan dia bersemangat untuk kembali serta mendahului senarai pelari elit dari Kenya.

Rakan dari Kenya dan pemegang rekod dunia, Eliud Kipchoge, yang memecah rekod dua jam dalam acara tidak rasmi pada Oktober lalu, sudah mengesahkan penyertaan untuk mempertahankan kejuaraannya di London.

“Saya sangat menantikan untuk kembali ke Maraton London,” kata Brigid dalam satu kenyataan.

“Tahun lalu adalah tahun yang luar biasa buat saya dan ia bermula dengan kemenangan di London. Kembali semula adalah sangat istimewa dan saya harap ia akan menjadi permulaan bagi tahun yang sukar dilupakan.”

Penyertaan itu dijangka membabitkan pemenang Maraton London 2018, Vivian Cheruiyot; juara tiga kali Maraton Berlin, Gladys Cherono dan juara dunia baharu, Ruth Chepngetich.

Joyciline Jepkosgei juara Maraton Bandaraya New York 2019 turut dijangka tampil dalam barisan permulaan di London.

Acara Maraton London 2020 akan berlangsung pada 26 April ini.

Disiarkan pada: January 13, 2020 @ 10:42am
d