arena

Watford keluar dari zon penyingkiran

Oleh AFP

KAPTEN Watford, Troy Deeney memuji impak yang dijelmakan pengendali pasukan Nigel Pearson dalam membantu The Hornets keluar dari zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris buat kali pertama musim ini berikutan kemenangan 3-0 di Bournemouth.

Abdoulaye Doucoure dan Roberto Pereyra menemui sentuhan dengan jaringan gol sementara Deeney meledak gol keempat dalam lima perlawanan ketika Watford mengatasi lawan mereka dalam carta liga.

Pengendali dan pemain-pemain perlu diberi pujian atas usaha ini,” kata Deeney.

“Kami di tangga tercorot pada satu ketika musim ini tetapi mampu meraih sokongan peminat dan bekerja keras di atas padang.”

Bournemouth yang sudah lima musim di dalam kancah liga utama Inggeris itu kini di ambang bahaya selepas mengutip hanya empat mata daripada 11 perlawanan terakhir untuk menghuni tangga kedua tercorot.

Watford sebaliknya semakin mantap di bawah bekas pengendali Leicester Pearson yang mengumpul 13 daripada 15 mata ditawarkan sejak kekalahan 2-0 di Liverpool bulan lalu.

“Kami menemui cara untuk bekerja sebagai satu pasukan bagi mendapatkan apa yang kami mahu, persembahan dan keputusan.

“Kami menunjukkan keazaman, pemahaman permainan dan keupayaan,” kata Pearson.

Disiarkan pada: January 13, 2020 @ 12:33pm
d