arena

Bukan pelengkap jadual di Thailand

Oleh Asrol Awang

BIARPUN hadir sebagai pasukan jemputan, skuad futsal kebangsaan tidak mahu dilabel pelengkap jadual pada Kejohanan Futsal Antarabangsa Thailand di Songkhla pada 2 hingga 8 Februari depan.

Pengendali pasukan, Chiew Chun Yong akan memastikan kejohanan disertai pasukan lebih tinggi dari segi ranking berbanding Malaysia itu mampu memberikan cabaran.

"Memang skuad negara sebagai pasukan `underdog' tetapi kita akan pastikan pemain dapat beraksi dengan lebih baik biarpun berdepan pasukan ranking jauh lebih tinggi. Saya percaya pemain dapat memberi cabaran untuk meraih keputusan lebih baik dan ia juga pendedahan terbaik kepada skuad negara," katanya.

Chun Yong berkata demikian pada sidang media ketika ditemui pada Kursus Kejurulatihan Futsal Tahap Satu AFC yang dirasmikan Presiden Pahang Rangers, Tengku Fahd Mua'adzam Shah Sultan Ahmad Shah di Kuantan, hari ini.

Sebagai persediaan ke Songkhla, beliau menyenaraikan 20 pemain termasuk tiga pemain baru, masing-masing seorang dari Kelantan, Terengganu dan Lembah Klang.

Katanya, skuad itu juga dalam persiapan dengan melakukan sedikit perubahan taktikal dan strategi bagi menghadapi kejohanan bertaraf antarabangsa itu.

"Kita melakukan beberapa perubahan dari segi strategi dan taktikal untuk memantapkan lagi pasukan futsal negara," katanya.

Kesemua pemain mula menjalani latihan pusat bermula 23 Januari ini menjelang kejohanan yang disertai Iraq, Kuwait, Qatar, Turkmenistan dan tuan rumah, Thailand. Di kejohanan itu, enam pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan dan dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke separuh akhir.

Disiarkan pada: January 13, 2020 @ 8:40pm
d