arena

Alonso catat keputusan terbaik

Oleh AFP

JUARA dunia dua kali Formula Satu, Fernando Alonso mencatat keputusan terbaiknya di Rali Dakar apabila menduduki tempat kedua di belakang pelumba Perancis, Mathieu Serradori pada peringkat kelapan hari ini.

Perlumbaan itu diselubungi kesedihan di sebelah pagi dengan kematian penunggang Portugal, Paulo Goncalves disusuli pembatalan kategori motosikal dan ‘quadbike’ pada peringkat itu.

"Saya tujukan kejayaan kepada Paulo kerana saya bekas pelumba motosikal,” kata Serradori, pelumba amatur yang memandu SRT.

"Tidak mudah memotivasikan diri dan pembantu saya, Fabien tetap tenang tetapi ada dua pejuang dalam kereta dan saya sangat gembira dengan keputusan ini.”

Serradori mencatat 4 minit 4 saat mengatasi Alonso yang memandu Toyota manakala pelumba Argentina, Orlando Terranova ketiga dengan catatan 6:19.

Alonso yang empat kali menamatkan kedudukan dalam kelompok 10 teratas tanpa penamat podium memuji pembantunya, Marc Coma, juara lima kali Dakar kategori motosikal.

Kedudukan keduanya menyaksikan dia mengukuhkan tempat di tangga ke-13 keseluruhan, tiga jam 10 minit lebih daripada Carlos Sainz.

Disiarkan pada: January 13, 2020 @ 9:50pm
d