arena

Pintu TFC masih terbuka buat Ashari

Oleh Malik Muhamad

PENGURUS pasukan Terengganu FC (TFC), Ahmad Shahrizal Yahaya menafikan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) menyisihkan bekas pemenang Kasut Emas 2010, Ashari Samsudin daripada menyertai skuad Liga Super itu musim ini.

Sebaliknya Shahrizal menyatakan badan induk bola sepak negeri itu sudah menawarkan 'jawatan’ sebagai pemain melalui surat kepada penyerang sensasi berusia 35 tahun itu yang lebih mesra dipanggil Saha.

Bagaimanapun beliau berkata, pemain itu tidak membalas surat jawapan sehingga kini sama ada menerima tawaran untuk bermain dengan skuad Penyu ataupun sebaliknya.

Katanya, situasi itu menimbulkan persoalan bukan hanya dalam kalangan kem TFC malah juga peminat yang ingin mengetahui status pemain itu yang masih lagi mampu membantu pasukan.

“Sebenarnya PBSNT sudah menawarkan kontrak kepada pemain itu (Ashari) pada November tahun lalu bersama pemain lain, tapi sehingga kini pemain itu senyap dan belum ada lagi jawapan seraca rasmi.

“Kami tak tahu sebab apa. Lagipun kami dah bagi tempoh, tapi belum ada sebarang jawapan sama ada terima atau tidak. Jadi kami tak tahu nak cakap macam mana lagi? Sebab kami sudah tawarkan kontrak, nak tahu sebab apa perlu tanya tuan badanlah (Ashari).

“Bagaimanapun dia (Ashari) masih ada peluang jika berhasrat menyarung jersi TFC musim ini sebelum tarikh pendaftaran ditutup,” ujar Shahrizal.

Sebelum ini peminat setia pasukan itu mempersoalkan pihak pengurusan PBSNT dan TFC yang tidak menyenaraikan bekas pemain kebangsaan itu yang disifatkan masih berbisa sebagai penyerang tulen.

Sepanjang kariernya, pemain kelahiran kampung Rawai, Marang itu meledak 84 gol sepanjang 238 penampilannya bersama Terengganu dan Pahang.

Selain itu Ashari turut menyumbang tiga gol ketika mewakili skuad kebangsaan termasuk satu jaringan ketika Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 menundukkan Indonesia 4-2 serta membantu Terengganu menjulang trofi Piala FA 2011.

Sebelum ini Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memaklumkan tarikh pendaftaran pemain Liga Malaysia bermula pada 16 Januari hingga 15 Mac 2020.

Sementara itu Ashari enggan mengulas lebih lanjut berhubung perkara itu sebaliknya hanya memaklumkan sudah tidak beraksi dengan mana-mana pasukan lagi musim ini.

“Tak main mana-mana dah,” ujar pemain yang dianggap legenda Terengganu itu.

Disiarkan pada: January 14, 2020 @ 10:59pm
d