arena

Detik terbaik Nadal 'tawan' Australia

Oleh Reuters

SELEPAS memulakan kempen musim ini tanpa kecederaan, Rafael Nadal makin membara menghadapi Terbuka Australia dengan sasaran menyamai rekod 20 gelaran Grand Slam milik Roger Federer.

Melbourne adalah Slam paling sukar dimenangi juara 19 kali itu dengan kejuaraan tunggal diraih pada 2009 selepas mengatasi Federer dalam pertarungan epik lima set yang menyebabkan bintang Switzerland itu mengalirkan air mata selepas tamat perlawanan.

Dia mara ke final empat kali dalam dekad terakhir dan tewas semuanya, dua kali di tangan Novak Djokovic termasuk tahun lalu, sekali kepada Federer dan dikejutkan Stan Wawrinka pada 2014.

Nadal sebelum ini menyuarakan kekesalannya terhadap jadual Terbuka Australia yang berlangsung sejurus selepas Krismas dan kerap berdepan masalah kecergasan menjelang kejohanan.

Masalah lutut yang biasa dialami membataskan persiapannya pada 2018 dan terpaksa menarik diri pada set kelima saingan suku akhir ketika menentang Marin Cilic.

Tahun lalu, dia menjalani pembedahan buku lali sebelum kejohanan yang menyaksikan dia mara ke final tanpa kehilangan sebarang set.

Tahun ini, pemain nombor satu dunia itu tampak lebih sedia selepas membantu Sepanyol meraih kejayaan Piala Davis pada November lalu dan membantu negaranya mara ke final Piala ATP namun dia tewas kepada Djokovic.

Nadal kekal bebas kecederaan sejak merampas gelaran Terbuka AS dengan hanya masalah di perut yang memaksa dia menarik diri daripada Masters Paris.

“Rafa dalam keadaan fizikal dan prestasi terbaik dan sekarang persoalannya ialah mengekalkan tahap itu,” kata jurulatih, Francis Roig selepas tiba di Australia bersama Nadal.

“Dia berasa sangat yakin berdasarkan prestasi semasa dan servisnya banyak membantu.”

Kekal cergas sangat penting bagi mencerahkan peluang Nadal di Melbourne, venue yang menyaksikan kekalahan teruknya pada final Grand Slam tahun lalu dan dia mengakui aksi bertahannya gagal mengekang asakan agresif Djokovic.

Disiarkan pada: January 16, 2020 @ 12:07am
d