arena

Ramai pihak mahu taja Hafizh

Oleh Saiful Affendy Sapran

PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah sebenarnya didekati oleh banyak pihak yang berminat mahu menajanya pada musim baru Kejohanan Motosikal Dunia bersama pasukan Aspar.

Namun bapanya, Abdullah Harun menjelaskan terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira sebelum pihaknya membuat keputusan untuk memilih satu-satu tajaan itu.

“Sebagai contohnya jika bentuk tajaan itu sama dengan tajaan sedia ada, maka syarikat yang berminat itu tidak boleh menjadi penaja kepadanya.

“Satu lagi, tajaan peribadi untuk Hafizh tidak ada masalah sangat tetapi sekiranya tajaan itu besar dan membabitkan pasukannya, maka perbincangan lebih rapi perlu dilakukan,” katanya.

Bukan mahu ‘menyibuk’ dengan urusan tajaan anaknya itu, namun jelas Abdullah sebagai bapa beliau perlu mengambil tahu bentuk tajaan dan pihak yang berminat untuk menaja Hafizh.

“Kalau dulu mungkin saya hanya ambil berat soal prestasinya di atas litar, tetapi sekarang saya perlu ambil berat juga mengenai tajaan untuk Hafizh.

“Saya tak mahu dia menjadi mangsa perjanjian yang mungkin tak memihak kepadanya,” katanya.

Meskipun saingan MotoGP hanya akan berlangsung kurang dua bulan lagi bermula di Qatar, 8 Mac depan, Abdullah tetap percaya Hafizh akan memperoleh tajaan yang mencukupi untuknya beraksi dalam tempoh semusim.

“Sekarang perbincangan sedang dilakukan dengan sekurang-kurangnya tiga syarikat. Insya-Allah jika ada rezeki, Hafizh akan mendapat tajaan itu dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) juga sudah tampil untuk membantunya.,” katanya.

Hafizh menerusi laporan Arena Metro semalam mengakui masih tercari-cari tajaan dan sentiasa membuka peluang itu kepada mana-mana pihak meskipun saingan sudah berlangsung.

Disiarkan pada: January 17, 2020 @ 8:28pm
d