arena

Tiada masalah wang kemenangan

Oleh Aida Adilah Mat

PENGANJUR perlumbaan berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL), Human Voyage (HV) memberi jaminan bahawa tiada lagi isu membabitkan hadiah wang kemenangan akan timbul pada penganjuran kali ini.

LTdL yang memasuki edisi ke-25 turut dinaikkan taraf sebagai Siri Perlumbaan Profesional itu dilihat cukup istimewa dengan pelbagai pendekatan baru diperkenalkan tahun ini antaranya perlumbaan kreterium di Sabah dan Perlumbaan Sehari di Langkawi justeru penganjur tidak mahu isu hadiah kemenangan mencalarkan imej mereka kali ini.

Ini kerana menurut Ketua Pegawai Operasi HV Shahaizereen A Hamid, Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) memperkenalkan sistem baru yang dikenali sebagai Sistem Pengurusan Wang Hadiah Kemenangan (PMS) yang mana UCI bertanggungjawab sepenuhnya menguruskan hadiah kemenangan.

“Kami memberi jamiman tiada lagi masalah berhubung hadiah kemenangan dengan sistem baru yang diperkenalkan oleh UCI ini.

“Sistem ini akan diguna pakai buat pertama kali pada edisi kali ini. Wang kemenangan disalurkan kepada PKBM (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia) seteruskan akan diberi kepada UCI,” katanya.

Untuk rekod LTdL sebelum ini berdepan dengan isu kelewatan pembayaran hadiah kemenangan pada 2018 ketika di bawah kendalian Ciclista Sports Sdn Bhd.

Ia bukan isu yang baru malah beberapa siri penganjuran sebelum ini turut berdepan masalah yang sama.

Sementara itu, beliau yang ditemui pada Mesyuarat Jawatankuasa Induk turut memberi jaminan penyertaan enam pasukan jejalah dunia yang mana kesemua 22 pasukan yang bertanding akan diumumkan dalam tempoh dua minggu lagi.

Saingan edisi ke-25 itu dijadualkan dari 7 hingga 14 Februari dengan membabitkan lapan peringkat perlumbaan, bermula di Kuching dan berakhir di Pulau Langkawi meliputi jarak keseluruhan sejauh 1095.7km.

Disiarkan pada: January 18, 2020 @ 1:10am
d