arena

Bangkit sekat Reds!

Oleh AFP

SUDAH 13 bulan berlalu perlawanan yang menyebabkan Jose Mourinho ditunjukkan jalan keluar ketika membimbing Manchester United dan kali ini Red Devils masih lagi merasakan berada dalam bayang-bayang Liverpool selepas mereka kembali ke Anfield untuk aksi awal pagi esok.

Kekalahan 1-3 skuad bimbingan Mourinho pada Disember 2018 menyaksikan United ketinggalan 19 mata di belakang Liverpool yang ketika itu berada di tangga teratas liga dan ia juga adalah tugas terakhir buat pengurus kelahiran Portugal itu.

Bagaimanapun, selepas lebih setahun banyak penambahbaikan kecil dilakukan di bawah Ole Gunnar Solskjaer.

Kekalahan esok bakal menyaksikan jurang mata akan meningkat kepada 30 dengan Liverpool juga masih mempunyai satu perlawanan di dalam tangan.

Ketika zaman pemain, Solskjaer merasai sendiri pertembungan dua kelab musuh tradisi paling berjaya di England.

Pengendali kelahiran Norway itu memenangi enam gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) di bawah era Alex Ferguson, zaman yang menyaksikan Liverpool diketepikan dengan mudah.

Ferguson meraih 13 gelaran keseluruhan, di mana kejuaraan pertama pada 1992/93 menamatkan kemarau United selama 26 tahun.

Liverpool yang menjadi kuasa utama pada 19 70-an dan 1980-an sudah 30 tahun tidak merasai nikmat juara liga.

Tempoh tiga dekad itu dilihat akan berakhir hujung musim ini dengan pasukan bimbingan Jurgen Klopp memiliki kelebihan 14 mata di puncak liga dan kemarau panjang Liverpool itu adalah amaran buat United jika mereka gagal untuk kembali bangkit dengan pantas.

“Kami bekerja keras agar perkara itu tidak berlaku. Biarlah ia menjadi pengajaran buat kami.

“Kami tidak mahu tunggu dalam tempoh 24 tahun lagi untuk meraih kejuaraan liga dan saya pasti ini tidak akan berlaku kerana saya percaya dengan kelab ini. Kami dalam proses membina semula dan ia mengambil sedikit masa,” kata Solskjaer.

Disiarkan pada: January 19, 2020 @ 6:45am
d