arena

Chelsea terkedu di St James Park

Oleh Reuters

NEWCASTLE United meraih kemenangan pertama dalam lima perlawanan terakhir Liga Perdana menerusi tandukan lewat permainan Isaac Hayden untuk kemenangan 1-0 ke atas Chelsea di St James Park, awal pagi tadi.

Kedua-dua pasukan bergelut mencipta peluang pada babak pertama dengan penyerang Newcastle, Joelinton nyaris menjaringkan gol namun tandukannya melepasi palang gol.

Selepas rehat, rembatan Willian tersasar susulan serangan balas sebelum percubaan Tammy Abraham dihampakan penjaga gol, Martin Dubravka.

Abraham yang juga penjaring terbanyak Chelsea musim ini hampir memecah kebuntuan jaringan apabila tolakannya diselamatkan atas garisan oleh Matt Ritchie.

Ketika perlawanan tampak berakhir seri, Newcastle mendapat sepakan sudut pada masa kecederaan dan Hayden muncul wira tuan rumah apabila dia melompat tinggi menanduk masuk hantaran Allan Saint-Maximin sekali gus menggegarkan St James.

Keputusan itu membolehkan skuad Steve Bruce melonjak ke tangga ke-12 dengan 29 mata daripada 23 perlawanan manakala Chelsea kekal di tangga keempat.

"Kami tidak menjaringkan gol, ia sebahagian cerita musim ini,” kata pengendali Chelsea, Frank Lampard. “Kami tak boleh mengharapkan Tammy. Kami perlu mendapatkan gol.”

Disiarkan pada: January 19, 2020 @ 8:32am
d