arena

Casemiro wira Real Madrid

Oleh AFP

REAL Madrid beraksi tanpa penjaring terbanyak, kapten dan pemain termahal namun masih mampu menewaskan Sevilla 2-1 sekali gus memintas Barcelona di puncak La Liga, awal pagi tadi.

Karim Benzema, Sergio Ramos dan Eden Hazard tidak bermain di Santiago Bernabeu tetapi Casemiro bijak mencuri tumpuan.

Dua jaringannya yang kali pertama dilakukan sebagai pemain Real menjadi perbezaan di sebalik tiga gol terhasil pada babak kedua dengan Luuk de Jong menyamakan kedudukan buat seketika untuk Sevilla.

"Dua gol daripadanya memang di luar kebiasaan,” kata jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane.

β€œIa menjadikan kemenangan itu lebih penting. Ia hanya tiga mata tetapi kami memerlukannya dan kami mendapatkannya walaupun sukar.”

Sevilla kekal di tangga keempat, lapan mata daripada kedudukan teratas manakala Atletico Madrid di tangga ketiga dengan sama mata apabila tewas mengejut 2-0 di Eibar.

Barca boleh merampas kembali kedudukan pertama awal pagi esok dengan menewaskan Granada di Camp Nou, ketika Quique Setien akan membuat kemunculan pertama sejak dilantik sebagai jurulatih minggu lalu.

Setien berkata, dia tidak akan berpuas hati jika pasukannya menang ketika bermain buruk namun Zidane tampak tidak terlalu memilih.

Pasukannya kita mengharungi 17 perlawanan tanpa kalah termasuk ketika menjuarai Piala Super Sepanyol di Arab Saudi minggu lalu.

Disiarkan pada: January 19, 2020 @ 8:55am
d