arena

Fiorentina tambah derita Napoli

Oleh Reuters

FIORENTINA memintas Napoli dalam Serie A dan mencetuskan kekalahan keempat jurulatih, Gennaro Gattuso daripada lima perlawanan dengan kemenangan 2-0 di Stadio San Paolo, awal pagi tadi.

Jaringan Federico Chiesa dan pemain gantian, Dusan Vlahovic pada kedua-dua babak memberikan kemenangan ketiga berturut-turut dalam semua kejohanan.

Pengendali Fiorentina, Giuseppe Iachini tidak tewas sejak mengambil alih tugas pada Disember lalu. Dia seri di Bologna pada perlawanan pertama sebelum meraih tiga kemenangan dalam masa seminggu dengan menewaskan SPAL dalam aksi liga dan mengatasi Atalanta pada Piala Copa Itali sebelum menang di Naples.

Kemenangan itu melonjakkan Fiorentina ke tangga ke-12 dengan 24 mata, sama dengan Napoli tetapi mengatasi lawan itu berdasarkan rekod pertemuan manakala Gattuso masih gagal mengubah nasib pasukannya sejak mengambil alih tugas bulan lalu.

Penyokong tuah rumah mengejek pasukan mereka selepas tamat perlawanan yang menyaksikan Napoli kali pertama tewas tiga kali berturut-turut dalam aksi liga sejak April 2012.

Disiarkan pada: January 19, 2020 @ 10:10am
d