arena

Liverpool sepatutnya belasah United - Klopp

Oleh Reuters

PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp berkata, mereka sepatutnya menewaskan Manchester United dengan jaringan lebih besar berbanding kemenangan 2-0 dalam aksi Liga Perdana awal pagi tadi namun tetap mengagumi persembahan pemainnya.

Juara Eropah itu kini 16 mata meninggalkan pasukan di tangga kedua, Manchester City dengan berkelebihan satu perlawanan berbanding skuad Pep Guardiola.

"Saya menikmati perlawanan ini dan saya lebih memilih keputusan 2,3, 4-0 selepas 60 minit. Saya faham ada masanya konsentrasi merosot. Dahulu, saya boleh jadi gila tetapi sekarang saya lebih tenang,” katanya selepas tamat perlawanan di Anfield.

"Kami bermain bola sepak yang sensasi. Kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol tetapi gagal. United kemudiannya bangkit pada penghujung babak pertama. Pada babak kedua, kami mencipta lebih banyak peluang dan beraksi lebih baik.”

Liverpool mendahului menerusi tandukan Virgil van Dijk pada minit ke-14 tetapi perlu menunggu sehingga masa kecederaan bagi memastikan kemenangan hasil jaringan Mohamed Salah.

Klopp bagaimanapun memaafkan pemainnya yang gagal menterjemahkan kemenangan lebih bergaya. Menurutnya, dia tidak terkejut dengan tahap prestasi pasukannya dalam Liga Perdana yang mana mereka belum lagi lagi tewas.

Disiarkan pada: January 20, 2020 @ 7:41am
d