arena

Messi hadiah Setien kemenangan pertama

Oleh Reuters

BARCELONA mungkin mempunyai jurulatih baharu tetapi Lionel Messi tetap memainkan peranan utama apabila membantu juara Sepanyol itu meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Granada dalam aksi La Liga pertama buat Quique Setien, awal pagi tadi.

Pemain Argentina itu meledak gol tunggal menerusi rembatan pada minit ke-76 sejurus selepas pertahanan Jerman, Sanchez dibuang padang.

Kemenangan di tempat sendiri itu membolehkan Barca merampas kembali takhta La Liga dengan 43 mata daripada 20 perlawanan, mengatasi Real Madrid berdasarkan perbezaan jaringan.

"Kami puas hati dengan prestasi hari ini, pertahanan mantap dan menguasai bola. Koordinasi sesama kami juga lancar," kata pemain tengah, Sergio Busquets.

"Mereka bertahan jauh ke dalam dan kami bergelut mencipta hantaran terakhir tetapi saya fikir kami beraksi dengan baik.”

Barca yang memecat Ernesto Valverde minggu lalu menikmati 82% penguasaan tetapi sukar memecah benteng Granada yang menewaskan mereka 2-0 pada September lalu.

Malah pelawat nyaris mendahului pada babak kedua apabila percubaan pemain Cameroon, Yan Brice Eteki terkena tiang dan pertahanan mereka mula longgar selepas Sanchez mendpat kad kuning kedua apabila mengasari Messi.

Messi hampir menggembirakan penyokong tuan rumah dengan dua rembatan kencang pada kedua-dua babak tetapi tersasar namun tidak melakukan kesilapan apabila merembat kencang ke penjuru kiri gawang Granada selepas mendapat hantaran Arturo Vidal untuk gol kemenangan Barca.

Disiarkan pada: January 20, 2020 @ 9:41am
d