arena

Harap aura tempat sendiri

Oleh Muhammad Mustakim Ramli dan Izzali Ismail

AURA Stadium Darul Aman mampu memberi kelebihan buat skuad Lang Merah yang akan berhadapan Tai Po FC dalam aksi kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Darul Aman, malam esok.

Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, berkata beliau menjangkan satu perlawanan yang sengit dan mencabar buat kedua-dua pasukan.

“Ini adalah peluang untuk pemain membuktikan kepada penyokong keupayaan yang ada pada skuad Kedah dengan meraih keputusan yang baik pada malam esok.

“Kehadiran penyokong yang ramai di Stadium Darul Aman mampu menjelmakan aura dan menaikkan semangat pemain untuk memburu kemenangan, bukan sahaja untuk malam esok malah untuk perlawanan-perlawanan berikutnya,” katanya pada sidang media pra-perlawanan Kelayakan ACL di sini, hari ini.

Aidil turut mengesahkan Kedah bakal kehilangan tonggak pertahanan dari Singapura, Shakir Hamzah yang tidak dapat beraksi kerana melalui penggantungan.

“Shakir dilayangkan kad merah dalam aksi Piala AFC pada 2018 ketika dia bersama Home United.

“Kami sedia maklum mengenainya (penggantungan Shakir) dan fokus kami tidak terganggu kerana pada pramusim di Kemboja saya sudah mencuba beberapa pemain lain yang boleh menggalas tugasnya,” katanya.

Disiarkan pada: January 20, 2020 @ 8:54pm
d