arena

Lonjak motivasi pemain

Oleh Asrol Awang

KEJAYAAN Felda United muncul juara Piala Edy Rahmayadi di Medan, Indonesia kelmarin meningkatkan motivasi menjelang kempen Liga Malaysia (Liga M), Februari depan.

Ia diakui kapten The Fighters, Jasazrin Jamaluddin yang gembira dengan pencapaian itu ketika kelab masih dalam membentuk persefahaman mantap di kalangan pemain.

“Memang benar kemenangan ini melonjakkan motivasi buat pasukan bagi menghadapi saingan Liga M yang dijadualkan bermula hujung Februari depan.

“Saya bangga dengan komitmen rakan sepasukan kerana mereka menunjukkan komitmen luar biasa dalam menggalas tugas sepanjang tempoh perlawanan.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan mengekalkan displin dan persefahaman yang jitu, Felda United yang dibarisi sebahagian besar pemain baru mampu mencatat keputusan positif,” katanya.

Jasazrin yang juga bekas pemain kebangsaan berbangga kerana skuad itu menunjukkan peningkatan berbanding dalam dua perlawanan persahabatan, baru-baru ini.

"Bagi saya tewas dua aksi persahabatan sebelum ni kepada Kuala Lumpur dan kelab Kemboja, Svay Rieng FC tidak menjadi masalah kerana kami belum cukup serasi. Kejayaan di Medan akan menjadi sumber inspirasi terbaik untuk melakar keputusan lebih bagus dalam saingan liga nanti,” katanya.

Disiarkan pada: January 20, 2020 @ 10:34pm
d