arena

Terus berguru dengan Zhuliang

Oleh Aida Adilah Mat

RATU terjun negara, Cheong Jun Hoong akan meneruskan program khasnya bersama bekas jurulatih kebangsaan, Yang Zhuliang dan dijangka kembali ke China bagi meneruskan latihannya Rabu ini.

Bekas juara dunia 2017 itu kembali berlatih bersama Zhuliang Disember lalu namun kelibatnya dilihat di tanah air baru-baru ini sekali gus menimbulkan persoalan.

Bagaimanapun Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail ketika ditemui berkata, Jun Hoong kembali ke Malaysia kerana urusan visa dan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) sudah bersetuju untuk Jun Hoong meneruskan latihan di China bersama Zhuliang.

“Latihan di China bersama Zhuliang adalah persetujuan bersama kerana MSN dan ASUM akan cuba memberi yang terbaik kepada Jun Hoong untuk membolehkan dia layak ke Olimpik.

“Saya dimaklumkan oleh ASUM, Jun Hoong mempunyai satu lagi peluang untuk ke Olimpik dengan menyertai Piala Dunia di Jepun April ini.

“Bagaimanapun dia perlu melepasi ujian kelayakan yang akan dikendalikan oleh ASUM kerana ASUM hanya akan menghantar dua penerjun terbaik dalam acara platform yang mana Pandelela Rinong dan Nur Dhbitah Sabri turut mahu mencuba nasib beraksi di Piala Dunia nanti,” katanya.

Jun Hoong yang meraih pingat emas acara 10m platform di Kejuaraan Dunia di Budapest, Hungary pada Julai 2017 tidak menyertai sebarang pertandingan akibat kecederaan lutut yang dialaminya dua tahun lalu.

Kecederaan yang dialaminya itu turut menyaksikan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu terlepas peluang untuk menyertai Sukan Asia Jakarta-Palembang dua tahun lalu.

Disiarkan pada: January 20, 2020 @ 10:59pm
d