arena

Arsenal wajib benam Chelsea

Oleh Agensi

MIKEL Arteta mengakui Arsenal wajib menang dalam kunjungan ke Chelsea bagi menamatkan kedudukan dalam kelompok empat teratas musim ini.

Arsenal kekal di pertengahan liga selepas seri 1-1 dengan Sheffield United pada Sabtu lalu dan 10 mata di belakang pasukan di tangga keempat, Chelsea.

Menjelang kunjungan ke Stamford Bridge pada awal pagi esok, Arteta berkata, “Ia sangat penting kepada kami untuk memenangi perlawanan ini. Kami tewas di tempat sendiri (1-2 selepas mendahului 1-0) dan ia pasti tidak berulang. Kami perlu menang esok.”

Walaupun hanya menang satu dalam lima perlawanan liga di bawah kendalian Arteta, slot Liga Juara-Juara masih dalam jangkauan ketika pesaing Arsenal turut tidak konsisten.

Arteta berkata: “Semua orang bermasalah mencari dua kemenangan berturut-turut dengan liga semakin kompetitif musim ini dan itu sebabnya jurang di antara pasukan tidak besar.

“Ada empat bulan lagi untuk beraksi dan apa sahaja boleh terjadi. Banyak perlawanan membabitkan pasukan besar dan saya fikir akan ada perubahan.”

Disiarkan pada: January 21, 2020 @ 1:15pm
d