arena

Tuck gembira 'Messi' kembali

Oleh Malik Muhamad

KEHADIRAN semula pemain bertubuh kecil, Mohd Faiz Nasir ke pangkuan Terengganu FC (TFC) musim ini bukan saja dinantikan peminat malah turut menggembirakan arkitek skuad Penyu itu, Lee Tuck.

Menurut Tuck, gandingannya bersama pemain itu pada pentas Liga Malaysia (Liga M) 2018 banyak membantu pasukan sehingga muncul naib juara Piala Malaysia ketika di bawah kendalian jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim.

Dia juga mengakui kehadiran semula pemain berketinggian 1.52 meter yang digelar `Messi Ganu’ itu bakal memantapkan lagi pasukan dalam misi merangkul sekurang-kurangnya satu trofi musim ini selepas hampa dua tahun lalu.

“Ya saya gembira dengan kehadiran Faiz, dia pemain berkualiti dan mampu merencana bahagian tengah pasukan dengan baik biarpun memiliki tubuh kecil dan rendah.

“Sepanjang beraksi bersamanya pada 2018, saya serasi dengannya, dia bekerja keras untuk pasukan dalam setiap perlawanan dan bakal memberi kelebihan buat TFC,” ujar Tuck yang mengakui TFC bertuah memiliki pemain kebangsaan kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu yang menyarung jersi Selangor musim lalu.

Katanya, selain Faiz, musim ini TFC juga memiliki ramai pemain muda berkualiti dan berbakat yang mampu menjadi aset ampuh jangka panjang skuad itu.

Disiarkan pada: January 21, 2020 @ 2:20pm
d