arena

Lyon bergelut ke final

Oleh Reuters

LYON berjaya mara ke saingan akhir Piala Liga Perancis selepas menumpaskan Lille menerusi penentuan penalti 4-3 selepas kedua-dua terikat 2-2 dalam masa sebenar.

Sepakan penalti Loic Remy pada masa kecederaan membolehkan Lille mengheret perlawanan ke penentuan penalti, namun penjaga gol Lyon, Ciprian Tatrusanu muncul wira selepas menyelamatkan sepakan pertama yang dilakukan Jonathan Bamba dan Renato Sanches pula gagal menyempurnakan gilirannya.

Sebelum gol penyamaan Remy pada masa kecederaan, Lille sempat mendahului lawan dalam tempoh empat minit hasil jaringan Sanches, sebelum Moussa Dembele menyamakan kedudukan dalam aksi yang berlangsung di Stadium Groupama.

Lille di depan pada minit ke-12 apabila Sanches merembat masuk dari dalam petak penalti namun Lyon menyamakan kedudukan empat minit kemudian hasil sepakan penalti Dembele selepas bola terkena tangan Gabriel Magalhaes.

Pasukan tuan rumah, menyangkakan mereka sudah mencatatkan kemenangan selepas Houssem Aouar melakukan rembatan menumpaskan Leo Jardim pada minit ke-85, namun kekasaran yang dilakukan Rafael ke atas Jonathan Babam membolehkan Lille meraih penalti pada masa kecederaan.

Lyon, yang mempamerkan prestasi kurang konsisten dalam separuh saingan musim ini, sudah mencatat empat kemenangan daripada lima perlawanan terakhir mereka dalam semua kejohanan dan masih lagi memburu kejayaan Piala Liga, Piala Perancis serta Liga Juara-Juara.

Mereka akan berdepan Reims atau Paris St-Germain (PSG), yang bakal berentap dalam satu lagi saingan separuh akhir.

Format tiada aksi tambahan dalam saingan Piala Liga sejak edisi 2017, menyaksikan Lyon tenang menyempurnakan semua sepakan penalti.

Ini adalah edisi terakhir Piala Liga selepas Liga Perancis mengundi untuk menggantung kejohanan ini apabila gagal mendapatkan hak penyiaran bagi musim 2020-2024.

Kejohanan yang dipertandingkan sejak 1995 ini menyaksikan PSG muncul juara sebanyak lapan kali.

Disiarkan pada: January 22, 2020 @ 8:59am
d