arena

Cerita kupas pisang di Terbuka Australia

Oleh AFP

PEMAIN tenis Perancis, Elliot Benchetrit akui agak terkejut dengan maklum balas luar biasa selepas dia menyuruh budak pengutip bola mengupas pisang di Terbuka Australia, menyebabkan pengadil perlawanan mengarahkan supaya melakukannya sendiri.

Dia yang digelar ‘Bananaman’ oleh media Australia, memberikan pisang untuk dikupas kepada budak pengutip bola ketika aksi kelayakan, dengan alasan dia perlu menyapu krim ke tangannya.

Bagaimanapun, pengadil perlawanan, John Blom tidak berkenan dengan tindakan berkenaan dan menyuruh Benchetrit melakukannya sendiri, kerana perkara itu seperti memperhambakan budak pengutip bola.

Insiden itu mendapat reaksi luar biasa di media sosial dengan legenda tenis wanita, Martina Navratilova memuatnaik status di Twitter.

“Apa pula selepas ini, anggur? John (pengadil) melakukan tindakan yang tepat, itu sudah pasti.

Benchetrit, yang dikenali sebagai Bench, menceritakan dari sudutnya selepas tersingkir di pusingan pertama, mendakwa bahawa budak perempuan berkenaan sejak dari awal lagi memang tolong mengupas pisang untuknya.

“Pada kedudukan 6-5 di set terakhir, ketika rehat, saya meminta budak perempuan itu untuk mengupas pisang kerana saya perlu letakkan krim di tangan untuk elak dari berpeluh.

“Dia (budak pengutip bola) sebelum itu pun sudah mengupas pisang di awal perlawanan. Bagaimanapun, kali kedua, pengadil ternampak dan memberitahu budak perempuan bukan hamba saya dan saya perlu lakukannya sendiri.

“Saya terkejut pengadil berkata seperti itu dan agak terkejut insiden ini menjadi hangat di media sosial tanpa mengetahui perkara sebenar yang berlaku,” kata Benchetrit.

Disiarkan pada: January 22, 2020 @ 10:52am
d