arena

Gol awal rentap semangat Tai Po

Oleh Izzali Ismail

GOL awal yang dihasilkan Kedah pada minit ketiga perlawanan dan layangan kad merah antara punca Tai Po FC gagal mengawal rentak permainan yang diinginkan pada aksi pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Darul Aman semalam.

Ketua Jurulatih Tai Po FC, Davor Berber berkata kekalahan 1-5 kepada skuad Lang Merah adalah satu pengajaran buat skuadnya yang sedang dalam pembentukan melalui kesebelasan terbaik yang diturunkan pada perlawanan semalam.

“Kita dibolosi diawal permainan dengan kesilapan mudah dan ditambah pula dengan layangan kad merah pada babak pertama ternyata memberi kesan terhadap semangat keyakinan kami. Kesilapan mudah yang dilakukan terus membuka peluang untuk Kedah menambah gol.

“Kami menunjukkan usaha kami pada tahap maksima dalam memberi saingan termasuk mendapat beberapa peluang serta menghasilkan gol dan kami berharap penonton tetap menilai kami dari sudut berkenaan.

“Saya ucapkan tahniah kepada Kedah dan selamat berjaya untuk menentang FC Seoul Semoga Kedah memberi tentangan yang hebat dalam kelayakan ACL seterusnya,” katanya.

Sementara itu, penolong jurulatih Tai Po FC, Ivan Kurtusic juga mengakui sebelum perlawanan skuadnya merancang untuk merantai dua tonggak Kedah iaitu Kpah Sherman dan Kipre Tchetche dari bergerak bebas dan menghasilkan gol. ‘

“Jika kami mampu bertahan dalam tempoh hingga 10 hingga 15 minit permainan tanpa jaringan oleh Kedah, maka kami mampu memiliki peluang yang baik dalam perlawanan ini. Tekanan adalah kepada Kedah kerana mereka yang beraksi di depan 20, 000 penyokong yang hadir mengharapkan Kedah untuk menang.

“Tai Po FC kini dalam tempoh membangunkan pemain baharu dan kami sedang merancang serta memerlukan masa untuk menghasilkan satu pasukan yang bagus dengan melakukan perubahan pemain seperti juga yang Kedah lakukan.” katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2020 @ 1:14pm
d