arena

Millman ajak Federer bertarung di luar

Oleh AFP

JOHN Millman bersedia untuk melakukan apa saja untuk berdepan Roger Federer dan ia termasuklah meminta beraksi di gelanggang lain selain Arena Rod Laver menjelang perlawanan pusingan ketiga Terbuka Australia esok.

Federer sudah melakukan 21 penampilan di Melbourne Park dengan hampir setiap perlawanan beraksi di gelanggang utama di mana dia berjaya meraih enam kali gelaran Terbuka Australia tapi Millman cuba untuk mengganggu momentumnya.

“Ini adalah sebahagian daripada mengganggu permainannya. Saya tidak pasti sama ada dia tahu mengenai gelanggang di luar. Dia pernah beraksi sekali di luar tapi sangat jarang,” kata pemain Australia itu, yang pernah menumpaskan Federer di Terbuka Amerika Syarikat 2018.

Sementara itu, Federer mengakui dia bersedia untuk beraksi di pusingan ketiga di mana-mana gelanggang sekali pun.

“Saya tidak memilih gelanggang mana saya mahu beraksi. Anda mungkin rasakan perlawanan seperti ini sepatutnya berlangsung di Arena Rod Laver.

“Dia lebih tahu Arena Margaret dan Arena Melbourne lebih baik. Bagaimanapun, saya tidak fikir mengenainya. Saya hanya mengandaikan perlawanan seperti ini akan berlangsung di Arena Rod Laver. Saya bersedia untuk beraksi di mana sekali pun,” kata pemain berusia 38 tahun itu

Millman, yang mengakui penganjur tidak pernah melayan permintaannya dengan serius, berkata, gelanggang lain selain Rod Laver akan memberikannya kelebihan dari aspek sokongan penonton.

“Setakat ini perlawanan yang membabitkan saya, hanyalah di dua gelanggang, gelanggang tiga dan Arena Melbourne, di mana saya mendapat sokongan padu iaitu dari rakyat Australia.

“Saya hanya fikirkan mengenai diri saya sendiri dan siapa yang kenal saya mungkin sudah tahu inilah perangai orang Australia sejati,” katanya.

Millman, yang menewaskan Federer di Flushing Meadow iaitu pencapaian terbesarnya dalam karier tidak pernah mara lebih daripada pusingan ketiga di Terbuka Australia.

Ia berbeza dengan Federer yang melangkah 14 kali ke separuh akhir namun dia tetap berasa bimbang untuk berdepan dengan Millman terutama selepas kekalahan mengejut di Terbuka Amerika Syarikat.

Disiarkan pada: January 23, 2020 @ 11:27am
d