arena

Nasib atlet kantoi doping esok

Oleh Aida Adilah Mat

BERAPAKAH tempoh penggantungan yang akan dikenakan terhadap atlet olahraga berusia 17 tahun yang didapati positif doping akan diketahui esok.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk SM Muthu ketika dihubungi memaklumkan keputusan itu akan dimaklumkan selepas mesyuarat jawatankuasa di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Awal bulan lalu seorang atlet remaja lelaki yang beraksi dalam acara 4x100 meter di Kejohanan Olahraga Tertutup Malaysia Ogos tahun lalu didapati positif doping selepas menggunakan dua bahan terlarang jenis iaitu methasterone dan oxymetholone iaitu sejenis steriod anabolic yang mampu untuk merangsang peningkatan prestasi.

Mengikut peraturan Agensi Anti Dadah Dunia (WADA) hukuman mandatori empat tahun menanti atlet itu.

Bagaimanapun, menurut Muthu ia mungkin boleh dikurangkan berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan terhadapnya sepanjang tempoh dua minggu sesi pendengaran berlangsung.

Sementara itu, satu program khas bakal diatur buat atlet olahraga negara yang mempunyai potensi cerah melayakkan diri ke temasya Olimpik.

Antara yang dicadangkan adalah menjalani latihan di Eropah sebelum tarikh tutup kelayakan iaitu pada 29 Jun 2020.

Timbalan Presiden KOM, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar ketika ditemui pada sidang media penilaian Sukan SEA di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini berkata antara nama berpotensi diketengahkan adalah atlet lompat tinggi Lee Hup Wei, Nauraj Singh, Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Andre Anura Anuar (lompat jauh), Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Haiqal Hanafi (100m).

Disiarkan pada: January 23, 2020 @ 11:07pm
d