arena

Garis panduan makanan tambahan untuk atlet

Oleh Aida Adilah Mat

SATU garis panduan akan dikeluarkan bagi mengarahkan atlet di setiap sekolah sukan di Malaysia memaklumkan makanan tambahan dan ubat-ubatan yang diambil kepada Institut Sukan Negara (ISN).

Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk R Anamalai berkata, ia bagi mengelakkan kes doping akibat bahan terlarang dalam makanan daripada berulangan terutama membabitkan atlet muda.

“Ia adalah sistem baharu yang akan diwujudkan dan sudah dipersetujui oleh presiden. Ia adalah penting untuk kami di KOM mengawal atlet yang tidak berada di Bukit Jalil.

“KOM akan cuba untuk mengawal isu doping ini dengan pendidikan dan akan berhubung dengan ADAMAS (Agensi Anti Doping Malaysia) untuk membantu KOM,” katanya, selepas mesyuarat jawatankuasa doping KOM yang berlangsung di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, hukuman mandatori gantung selama empat tahun dijatuhkan kepada atlet olahraga berusia 18 tahun yang didapati positif doping di Kejohanan Tertutup Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tahun lalu.

Hukuman empat tahun terhadap Muhammad Syazrul Adli Saiful Adli itu adalah mengikut peraturan yang dikeluarkan oleh Agensi Anti Doping Dunia (WADA) selepas Syazrul tidak dapat menimbulkan keraguan wujudnya orang ketiga yang terbabit ketika dia mengambil bahan terlarang itu.

Ketika sesi pendengaran yang berlangsung minggu lalu, Muhammad Syazrul berkata dia mengambil makanan tambahan untuk menambah tenaga selama dua tahun lalu yang diberi oleh kawannya.

Disiarkan pada: January 24, 2020 @ 2:01pm
d