arena

Misi Subri bersama TFC

Oleh Malik Muhamad

SELEPAS dinaikkkan ‘pangkat’ menjadi penolong jurulatih pasukan Terengganu FC (TFC), legenda skuad Penyu, Subri Sulong menyasarkan impian untuk menghadiahkan trofi kejuaraan buat pasukan dan peminat musim ini.

Bekas pemain skuad emas Terengganu 2001 yang membantu pasukan mencipta sejarah kali pertama menjulang trofi Piala Malaysia itu juga berazam mahu mengembangkan lagi karier jurulatihnya dalam misi melahirkan lebih ramai pemain berkualiti bukan saja buat pasukan negeri malah skuad negara.

Musim lalu, bekas pemain kebangsaan kelahiran Kampung Padang Kemunting, Kuala Nerus berusia 41 tahun itu berjaya membantu skuad Piala Belia Terengganu mencipta sejarah menjuarai trofi itu buat kali pertama selepas menundukkan PKNS 1-0 hasil jaringan Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid.

“Setiap jurulatih pastinya mempunyai impian untuk membantu skuad yang dibimbingnya meraih piala kerana itu adalah penanda aras bagi pasukan begitu juga dengan saya.

“Justeru dengan penampilan pertama menjadi penolong jurulatih TFC membantu Nafuzi Zain selaku ketua jurulatih, saya berazam membawa pasukan meraih sekurang-kurangnya satu trofi kejuaraan musim ini.

“Biarpun misi itu nampak sukar, tapi berdasarkan pemain yang membarisi skuad Penyu kali ini, adunan pemain muda dan berpengalaman serta lima pemain import yang berkualiti, impian itu bakal dicapai,” ujar Subri.

Sepanjang pembabitannya sebagai pemain, selain membantu skuad Penyu menjulang trofi Piala Malaysia 2001, jurulatih itu pernah merasai nikmat merangkul trofi Piala FA pada 1999 bersama Terengganu, juara Liga Super 2004 dan naib juara Piala FA 2005 bersama Pahang dan naib juara Sukan SEA 2001.

Disiarkan pada: January 24, 2020 @ 8:15pm
d