arena

Rebic wira Milan

Oleh AFP

ZLATAN Ibrahimovic membawa watak penting tatkala Ante Rebic menjaringkan gol tunggal ketika membantu AC Milan mengatasi Brescia, 1-0 dalam saingan Serie A, awal pagi ini.

Kemenangan itu adalah buat pertama kali Milan berjaya melakar kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut bagi saingan liga musim ini.

Ibrahimovic terlepas peluang keemasan menjaringkan gol sebelum tamat separuh masa pertama namun hantaran lintangnya berjaya disempurnakan Rebic yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-71 sekali gus merekodkan gol ketiga dalam dua perlawanan.

Milan mengutip 10 mata daripada empat perlawanan sejak Ibrahimovic kembali beraksi bersama kelab itu bulan ini.

Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Stefano Pioli melonjak ke tangga keenam liga untuk berada dalam slot ke Liga Europa dan ketinggalan tujuh mata bagi tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

Disiarkan pada: January 25, 2020 @ 9:05am
d