arena

Misbun Ramdan enggan mengalah

Oleh Aida Adilah Mat

KECEDERAAN 'achilles tendon' pada 2014 menyentap karier pemain Misbun Ramdan Misbun sehingga terpaksa menjalani dua kali pembedahan dan terpaksa berehat hampir lima tahun tanpa sebarang pertandingan kompetitif.

Bagaimanapun Misbun Ramdan berkata, dia tidak pernah mengalah, malah mungkin darah yang mengalir dalam tubuhnya itu dari ayahnya yang cukup terkenal dalam arena badminton dunia, Datuk Misbun Sidek, Misbun Ramdan mahu terus bergelar pemain profesional negara.

Dia yang ditemui pada hari bahagiannya semalam berkata, kehadiran isteri tercinta, Maisarah Jannah Jamaluddin diharapkan mampu untuk menjadi tunjang kekuatannya kepadanya meneruskan karier sebagai pemain badminton. ‘

“Mungkin nama saya tidak sehebat seperti ayah saya kerana kecederaan yang saya alami amat serius menyebabkan saya terpaksa berehat hampir lima tahun.

“Tapi ia tak patahkan semangat kerana badan saya masih boleh untuk terus bermain dan saya akan terus bermain selagi boleh,” katanya.

Misbun Ramdan, 28, berkata, dia tidak mahu menjadikan status sebagai suami menyebabkan corak permainan tidak menentu ketika dia masih lagi mencari rentak untuk ke satu lagi tahap yang lebih kompetitif.

Untuk rekod, Misbun Ramdan pernah dinobat sebagai juara kebangsaan pada 2012 dan memenangi enam kejuaraan Eropah sepanjang tahun 2013 hingga 2014 sebelum dilanda kecederaan menyebabkannya sepi daripada dunia badminton sehingga hari ini.

Sementara itu Misbun berkata, sebagai seorang ayah dia akan tetap menyokong apa yang anaknya inginkan.

Namun beliau akui hanya keajaiban akan membawa Misbun Ramdan setaraf pemain profesional dunia yang lain.

“Untuk menyerlah di peringkat antarabangsa pemain itu perlu berusia bawah 25 tahun, tapi Ramdan yang sudah berusia. Memang sukar untuknya.

“Kecederaan yang dialaminya itu mengganggu proses untuk pemulihan ototnya. Dia dah kerugian empat ke lima tahun. Tapi tak mengapa saya akan tetap membenarkan dia bermain dan membantunya sampai dia puas,” katanya. tamat

Disiarkan pada: January 26, 2020 @ 6:48pm
d