arena

Kejutan Napoli

Oleh AFP

PIOTR Zielinski dan Lorenzo Insigne menjaringkan gol pada babak kedua ketika pasukan sedang bergelut, Napoli mengejutkan juara bertahan, Juventus 2-1 sekali gus mencemarkan kepulangan Maurizio Sarri ke Stadio San Paolo hari ini.

Sarri tidak pernah ke Naples sejak dipecat pada Mei 2018 selepas tiga musim cemerlang sebelum berhijrah ke Chelsea.

Musim ini beliau membimbing juara bertahan lapan kali, Juventus, satu keputusan yang dilihat sebagai pengkhianatan oleh bekas pasukannya yang juga naib juara Serie A sebanyak dua kali.

Juventus terlepas peluang untuk membuka jurang enam mata di depan Inter Milan di tangga teratas liga selepas skuad kendalian Antonio Conte sebelum itu seri 1-1 berdepan Cagliari.

Inter kini tiga mata di belakang Juve dengan Lazio dua mata lagi di kedudukan ketiga manakala pencabar bandar yang sama, Roma menamatkan 11 perlawanan berturut-turut skuad Simone Inzaghi.

“Ia sesuatu yang amat menarik untuk pulang,” kata Sarri walaupun menerima ejekan oleh penyokong Napoli.

“Kami tewas berdepan lawan yang hanya melakukan perkara minimum untuk menang.

“Kami pasif sepanjang perlawanan apabila hanya bermain antara memberi tekanan dan menunggu dan kemudian melakukan kesilapan,” katanya

Piotr Zielinski menjaringkan gol pertama Napoli minit ke-63 sebelum Lorenzo Insigne menambah gol kedua minit ke-86.

Ketika permainan hampir tamat, bintang Juventus, Cristiano Ronaldo merapatkan jurang minit ke-90.

Disiarkan pada: January 27, 2020 @ 9:55am
d