arena

Rizal Fahmi bergelut cari pasukan baharu

Oleh Mohd Amin Jalil

BEKAS pemain Negeri Sembilan dan Selangor, Mohd Rizal Fahmi Abd Rosid masih bergelut mencari pasukan baharu bagi meneruskan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional tempatan.

Berbanding dengan beberapa rakannya yang lain, pemain pertahanan tengah berpengalaman berusia 34 tahun itu berkata, sehingga kini belum ada mana-mana pasukan yang sedia mendapatkan khidmatnya bagi persediaan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

"Setakat ini belum ada mana-mana pasukan yang bersetuju mengambil saya menganggotai pasukan mereka.

"Walaupun sebelum ini ada perbincangan dengan pengurusan sebuah pasukan yang akan beraksi dalam Liga M3 tetapi tiada keputusan diambil kerana sehingga kini perbincangan itu habis begitu sahaja.

"Niat sebenar memang hendak teruskan bermain kerana masih yakin dan berupaya memberikan sumbangan terbaik," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rizal Fahmi pernah beraksi bersama Kelantan dari 2006 hingga 2012 dan kemudian berpindah kepada pasukan Selangor dari 2013 hingga 2017.

Musim 2018, pemain kelahiran Tumpat, Kelantan itu beralih arah bersama Negeri Sembilan dan kemudian meneruskan kariernya bersama Selangor United, musim lalu.

Menurutnya, dia sedar dengan penampilan ramai pemain muda menyebabkan persaingan sengit antara pemain untuk menganggotai pasukan, namun dia tidak memilih pasukan sama ada beraksi di Liga M3 mahupun Liga Perdana.

"Saya tidak memilih pasukan dan apa yang penting dapat mencurahkan pengalaman selama 17 tahun beraksi dalam Liga M untuk membantu mana-mana pasukan dalam meraih kejayaan.

"Saya berharap dapat peluang mewakili mana-mana pasukan dalam liga musim ini dan sedia mengikuti setiap perancangan mereka," katanya.

Disiarkan pada: January 27, 2020 @ 10:20pm
d