arena

Arsenal ke pusingan kelima

Oleh AFP

MIKEL Arteta memuji barisan muda Arsenal selepas Bukayo Saka dan Eddie Nketiah meledak gol untuk kelab itu untuk menewaskan Bournemouth 2-1 sekali gus mara ke pusingan kelima Piala FA.

Arteta memberi kepercayaan kepada pemain muda di Dean Court dengan Saka, Nketiah dan Joe Willock membalas kepercayaan pengurus Arsenal itu apabila mempamerkan aksi meyakinkan yang membolehkan Arsenal bertemu Portsmouth di pusingan kelima.

Saka meletakkan Arsenal di depan menerusi rembatan padu sekali gus gol ketiganya untuk kelab pada musim ini.

Nketiah menambah gol kedua sebelum berakhir babak pertama untuk memastikan Arteta terus berada di landasan tepat untuk menjulang piala itu sekali lagi selepas melakukannya pada 2014 dan 2015 sebagai pemain Arsenal.

Sam Surridge meraih gol saguhati untuk Bournemouth pada lewat permainan tetapi ia sudah terlambat untuk menafikan kemenangan Arsenal.

“Saya sangat berpuas hati dengan prestasi pemain. Walaupun sukar untuk meraih kemenangan di sini tetapi kami berjaya melakukannya bersama barisan pemain muda.

“Saya meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada mereka. Saya rasa mereka mempamerkan peningkatan yang baik dan dilihat begitu laparkan kejayaan,” kata Arteta.

Disiarkan pada: January 28, 2020 @ 8:03am
d