arena

Presiden hubungi saya - Jabeur

Oleh AFP

PANGGILAN telefon daripada presiden masih tidak cukup untuk wakil Tunisia, Ons Jabeur yang tersingkir di Terbuka Australia selepas melakar sejarah mara ke suku akhir pentas Grand Slam.

Jabeur, wanita Arab pertama melangkah ke pusingan lapan terbaik di Grand Slam, tewas 4-6, 4-6 di tangan pemain Amerika Syarikat (AS), Sofia Kenin di suku akhir.

Pemain berusia 25 tahun itu berkata: “Saya menerima sokongan padu dari Tunisia. Telefon saya tidak berhenti berdering ketika ini.

“Saya sempat bercakap dengan Presiden Tunisia. Dia menghubungi saya dan mengucapkan selamat berjaya sebelum bermulanya perlawanan.

“Saya juga bercakap dengan banyak ahli politik Tunisia. Mereka juga menghubungi saya. Ramai lagi yang menghubungi saya dan mengucapkan selamat berjaya.”

Ditanya adakah ada sesuatu yang ingin disampaikan kepada Presiden Tunisia, Kais Saied dan pemimpin kerajaan yang lain, Jabeur berkata: “Saya tidak pasti, mungkin mengurangkan kadar cukai adalah cadangan paling baik.

“Saya tidak mahu terbabit dengan politik kerana saya tidak begitu pandai.”

Disiarkan pada: January 28, 2020 @ 2:19pm
d