arena

FAM, Brunei jalin kerjasama

Oleh Firdaus Hashim

KERJASAMA lebih erat dan peluang pertukaran kemahiran antara intipati dibincangkan dalam pertemuan antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD), hari ini.

Kunjungan hormat NFABD itu yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, nyata mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua persatuan yang pernah terjalin erat sebelum ini menerusi penyertaan pasukan Brunei dalam saingan Liga-M pada era 90-an.

Malah, Brunei juga pernah muncul juara Piala Malaysia pada 1999 selepas menewaskan Sarawak 2-1 dalam aksi final di Stadium Merdeka.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua presiden badan induk itu bertemu empat mata dengan NFABD diwakili Pengiran Haji Matusin Pengiran Haji Matasan manakala FAM oleh Datuk Hamidin Mohd Amin.

Kerjasama itu dilihat sebagai medan penyatuan dan mengukuhkan lagi jalinan ukhuwah dua negara yang sebelum ini sememangnya memiliki sejarah cukup kuat dalam bola sepak.

Selain itu, perbincangan turut merangkumi pertukaran maklumat, informasi di samping berkongsi pengalaman dan kemahiran dalam meningkatkan tahap liga bola sepak di kedua-dua negara serta bola sepak rantau ini.

Disiarkan pada: January 28, 2020 @ 6:12pm
d