arena

Kaji kekalahan Kedah di ACL

Oleh Izzali Ismail

SETIAUSAHA Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Asmirul Anuar Aris berharap satu 'post mortem' segera diadakan bagi merungkai segala persoalan yang timbul membabitkan kekalahan 1-4 Kedah kepada FC Seoul pada aksi playoff Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Seoul World Cup semalam.

Insiden 'tampanan' bola dengan tangan yang dilakukan Renan Alves terus menjadi persoalan dikalangan penyokong Kedah dan rentetan itu menyebabkan pemain pertahanan itu dilayangkan kad kuning kedua dan kad merah pada babak pertama perlawanan dengan menyaksikan skuad Kedah tempang dan beraksi hanya dengan 10 pemain.

Menerusi laman sosial facebook Asmirul, beliau yang berada di Seoul memaklumkan dihujani pelbagai persoalan mengenai insiden dan cara kekalahan Kedah yang dianggap peminat sukar diterima penyokong skuad Lang Merah.

"Selepas perlawanan semalam, saya terima pelbagai 'whatsapp', sms dan sebagainya dari seluruh pelusuk daerah serta tempat penyokong Kedah."

"Saya berfikir untuk menjawab suatu persoalan yang menjadi 95 peratus 'troll' peminat serta penyokong Skuad Hijau Kuning namun bukan semudah itu untuk terus menjawab."

"Eloklah kita serahkan kepada jurulatih dan pihak yang terbabit untuk segera membuat 'post mortem'." katanya.

Disebalik cerita sukar Kedah di Seoul, Asmirul tetap menghargai segala pengorbanan, kesungguhan dan kesetiaan yang ditunjukkan oleh semua pemain, pengurusan dan juga penyokong yang hadir ke saingan ACL di Seoul.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan 'Ribuan Terima Kasih' yang tidak terhingga kepada penyokong Kedah yang sanggup bersusah payah datang ke Seoul untuk memberikan sokongan dan sokongan peminat di tanah air.

"Terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh pemain, kejurulatihan serta pengurusan yang mencuba sedaya upaya untuk melaksanakan usaha terbaik dalam misi ini."

'Biar Jasa Jadi Kenangan', ketika menang kami gembira, ketika kalah kami setia." katanya.

Disiarkan pada: January 29, 2020 @ 11:49am
d