arena

Syafiq, Nordiyanah Olahragawan, Olahragawati PNS

Oleh Mohd Amin Jalil

DUA atlet kebangsaan, Mohd Syafiq Zuber dan Nordiyanah Noorsabadinee, masing-masing daripada sukan taekwondo dan bola jaring, dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati Politeknik Nilai (PNS) 2019.

Mohd Syafiq adalah sebahagian daripada atlet dalam kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Sea 2019 di Filipina yang menyumbang pingat gangsa untuk negara.

Sebelum ini, dia juga turut mengharumkan nama PNS dan negara selepas meraih emas pada Kejohanan Taekwondo Antara Universiti Dunia di Korea Selatan 2019.

"Anugerah ini menjadi pembakar semangat saya untuk terus aktif dalam sukan taekwondo dan berharap dapat terus mewakili PNS dan negara dalam kejohanan lain selepas ini.

"Menjadi impian saya untuk mencapai kejayaan dalam kedua-dua bidang iaitu pelajaran dan sukan taekwondo yang sudah lama saya ceburi," katanya.

Nordiyanah pula adalah atlet bola jaring yang membantu negara meraih emas pada Kejohanan Bola Jaring Asia ke-11 di Kashima Jepun tahun lalu sekali gus melayakkan pasukan negara mewakili Asia ke Kejohanan Dunia di Fiji 2021.

"Saya akan terus aktif dalam sukan bola jaring ini dan fokus selepas ini adalah untuk meningkatkan lagi prestasi bagi persiapan menghadapi Kejohanan Dunia di Fiji.

"Anugerah olahragawati ini akan dijadikan pendorong dan pembakar semangat untuk saya terus berusaha gigih bersama membantu mencipta kejayaan buat skuad bola jaring negara di peringkat antarabangsa," katanya.

Kedua-dua atlet berkenaan masing-masing menerima hadiah sijil, trofi dan wang tunai RM500.

Selain mereka, empat lagi atlet lain iaitu Ahmad Nor Iman Hakim Rakib, Joshua Amirul Abdullah dan Nor Aqilah Suraya Mohd Suhaimi bagi sukan taekwondo dan Qasidah Najwa Muhd Hilmi (hoki wanita dalam dewan), turut menerima penghargaan.

Mereka menerima penghargaan itu dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan PNS 2020 (Success Award@PNS 2020), yang berlangsung di Dewan Seri Putra PNS, di sini, malam tadi.

Majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani dan hadir sama Pengarah PNS, Nazri Idris.

Disiarkan pada: January 29, 2020 @ 12:57pm
d