arena

Chanturu perkasa 'adik' Bujang Senang

Oleh Asrol Awang

BEKAS pemain kebangsaan, S Chanturu meluahkan kegembiraan sebaik diterima menyertai Sarawak United yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Chanturu yang pernah menyarung jersi Sarawak pada 2013 dan 2014 juga berterima kasih di atas kepercayaan yag diberikan pengurusan Sarawak United.

"Dengan pengalaman yang ada bersama pemain tempatan dan import terbaik, kami akan berusaha untuk memastikan Sarawak United beraksi dalam Liga Super pada musim 2021. Biarpun perlu bersaing dengan pasukan jauh lebih mantap tiada mustahil untuk membawa pasukan mencapai misi itu. Kami akan bekerja keras sebelum saingan Liga Perdana bermula dalam membentuk sebuah pasukan yang mampu memberi saingan dan mencipta kejayaan bermakna musim ini," katanya.

Sebelum ini, pemain tengah itu berada dalam dilema apabila belum menerima sebarang tawaran selepas tidak lagi bersama Felda United FC.

Ketika bekas rakan sepasukan sudah bersama pasukan baru, pemain berumur 32 tahun itu bimbang kerana kebanyakan pasukan sudah melengkapkan senarai pemain.

Chanturu memulakan kerjaya pemain profesional bersama Pulau Pinang diikuti Kelantan, Perak, Sarawak, Johor Darul Ta'zim (JDT), Melaka United dan Felda United.

Pencapaian terbaik pemain tengah itu ialah pernah mewakili skuad Harimau Malaya dari 2012 hingga 2016.

Disiarkan pada: January 29, 2020 @ 10:26pm
d