arena

Real, Valencia, Sociedad mara

Oleh Reuters

REAL Madrid membelasah Real Zaragoza, 4-0 pagi ini, untuk mara ke peringkat suku akhir Piala Raja Sepanyol.

Pasukan divisyen dua berkenaan melakukan lapan pertukaran bagi merehatkan pemain untuk pertembungan berdepan pendahulu, Cadiz pada Ahad dan juara Piala Eropah 13 kali memanfaatkan sepenuhnya peluang itu.

Real mendahului pada minit keenam apabila pemain pertahanan Raphael Varane melakukan rembatan jarak dekat selepas memperoleh peluang terbaik dari sepakan sudut.

Lucas Vazquez menambah jaringan buat Madrid dengan rembatan di penjuru sudut selepas menerima umpanan Toni Kroos.

Perancang tengah Jepun, Shinji Kagawa yang kerap mendatangkan banyak masalah buat barisan bintang pelawat di La Romareda memperoleh beberapa peluang, namun Alphonse Areola menafikan percubaan tepat pemain yang pernah beraksi di Bundesliga itu.

Vinicius Jr meledak selepas 72 minit dan Karim Benzema melengkapkan jaringan kemenangan menerusi rembatan jarak dekat sekali gus memastikan kemaraan ke peringkat seterusnya buat skuad kendalian Zinedine Zidane.

Sementara itu, pasukan di divisyen tiga, Cultural Leonesa hampir mencipta satu lagi kejutan selepas mengetepikan Atletico Madrid pada pusingan sebelum ini, dengan mengheret Valencia kepada penentuan menerusi penalti sebelum tewas 2-4 selepas kedudukan masa perlawanan seri tanpa jaringan.

Dalam aksi lain, Villarreal mengatasi Rayo Vallecano, 2-0 manakala Real Sociedad tidak berdepan masalah mengetepikan Osasuna, 3-1 dan gol pada masa tambahan oleh Fernandez Luna membantu Granada mencatat kemenangan 3-2 ke atas CD Badajoz.

Disiarkan pada: January 30, 2020 @ 8:57am
d