arena

Senarai pasukan bakal diumum [METROTV]

Oleh Ferzalfie Fauzi

KETUA Pegawai Operasi (COO) Human Voyage, Shahaizereen A Hamid mengesahkan senarai akhir pelumba yang akan beraksi di Petronas Le Tour de Langkawi 2020 akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Menurutnya, penganjur ketika ini masih lagi melakukan beberapa perkara untuk diteliti sebelum ia dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Sekarang ini kita sudah mempunyai enam pasukan membabitkan World Tour dan Profesional benua. Hanya satu pasukan dari China (Hengxiang Cycling) menarik diri tapi kita sudah ada pengganti,” katanya pada sidang media Genting Malaysia sebagai penaja utama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 hari ini.

Shahaizereen juga mengesahkan jumlah keseluruhan pasukan yang dijemput ialah sebanyak 24 pasukan dan mereka masih lagi mempunyai empat pasukan simpanan.

“Kita masih lagi menunggu pengesahan dua lagi pasukan dari China namun kita sudah menetapkan peraturan bahawa pasukan dari negara berkenaan haruslah melakukan pemeriksaan kesihatan," katanya.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berharap semua pihak bersabar dengan usaha yang dilakukan oleh penganjur menjemput lebih banyak pasukan berstatus World Tour.

“Kita nantikan bersama (kehadiran lebih banyak pasukan World Tour). Bagaimanapun, jika kita lihat secara keseluruhan perlumbaan kali ini lebih menarik selepas ia turut di bawa di luar semenanjung.

“Peminat Sabah dan Sarawak akhirnya dapat menikmati saingan ini. Ini juga kita lihat sebagai satu kejayaan,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2020 @ 8:57pm
d