arena

Tak adil bandingkan Fernandes, Ronaldo

Oleh AFP

PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer berkata adalah tidak adil untuk membandingkan pemain yang baharu di tandatangani Bruno Fernandes dengan Cristiano Ronaldo.

Pemain 25 tahun itu mengikut jejak pemenang lima kali Ballon d’Or, Ronaldo pada tahun 2003 apabila menyertai United dari kelab Portugal Sporting Lisbon Khamis lalu.

Solskjaer berkata Fernandes akan memainkan peranan dalam perlawanan menentang Wolves di Old Trafford malam ini, tetapi memberi amaran untuk tidak membandingkannya dengan rakan senegaranya itu.

“Cristiano amat unik jadi untuk membandingkannya dengan pemain muda ini adalah tidak adil. Jelas sekali kami mengharapkan Bruno untuk datang dan mengharungi karier cemerlang di Manchester United.” katanya.

“Dia salah satu pelengkap pasukan dan saya pasti dia akan memberikan kami ‘X-factor’ yang tiada dalam skuad musim ini.”

Fernandes berkata selepas menandatangani perjanjian menyertai United bahawa minat kepada Manchester United bermula ketika melihat aksi Ronaldo bermain di kelab itu.

Fernandes yang akan memakai jersi nombor 18 yang pernah disarung Paul Scholes, menjaringkan lapan gol dan membantu enam jaringan untuk Sporting dalam saingan Liga Portugal musim ini.

Disiarkan pada: February 1, 2020 @ 8:28am
d