arena

Lagi akan dipanggil SPRM

Oleh Aida Adilah Mat dan Syazwan Msar

LEBIH ramai lagi individu penting dalam Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melengkapkan siasatan berhubung pemberian beberapa kontrak bernilai RM325,000.

Hal ini bermakna individu penting dalam persatuan berkenaan bukan hanya membabitkan Presiden PKBM Datuk Abu Samah Abd Wahab sahaja dalam radar SPRM namun ada lagi yang turut berperanan dengan pemberian kontrak itu.

Sumber berkata, individu berkenaan mengetahui perkara berkaitan pemberian tender dan projek yang mempunyai kepentingan tertentu.

“SPRM akan panggil lebih ramai lagi untuk membantu siasatan dan individu berkenaan juga mempunyai jawatan dalam persatuan terbabit.

“Mungkin sehari atau dua mereka akan dipanggil namun tidak boleh mendedahkan nama mereka pada masa ini,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan SPRM akan menahan lebih ramai lagi bagi membantu siasatan membabitkan kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah.

Disiarkan pada: February 1, 2020 @ 11:12pm
d