arena

Arsenal waspada jumpa 'pakar buli'

Oleh Agensi

PENGURUS Arsenal, Mikel Arteta mengakui perlu berhati-hati ketika berdepan Burnley, pasukan yang dianggapnya mempunyai kepakaran ‘membuli’ siapa saja lawan mereka.

Arteta mengambil pendekatan lebih serius untuk berdepan ‘The Clarets’ apabila melakukan sesi latihan lebih terarah kepada kekuatan fizikal.

Arsenal yang berjaya mendapatkan pertahanan kanan Southampton, Cedric Soares secara pinjaman, setakat ini hanya mencatatkan satu kemenangan daripada lapan aksi terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL).

Mereka semakin jauh ketinggalan untuk memburu kedudukan empat terbaik EPL dan menjelang aksi menentang Burnley, Arteta mengakui bahawa kelab berkenaan adalah sebuah pasukan yang bermain corak permainan England tulen.

“Mereka boleh dianggap sebagai pakar dalam apa yang mereka lakukan sekarang ini. Mereka akan membuatkan lawan berasa sukar.

“Jadi kami harus bersedia untuk berdepan dengan mereka. Kami juga perlu bijak dan bermain dengan cara kami sendiri.

“Kami akan ke sana dengan lebih fokus dan bertenaga serta jelas mengenai perancangan kami. Jika tidak kami berdepan kesukaran untuk berdepan mereka. Sudah banyak pasukan menjadi mangsa buli mereka,” kata Arteta.

Disiarkan pada: February 2, 2020 @ 6:10am
d