arena

Klopp terkejut Liverpool sangat hebat

Oleh Reuters

LIVERPOOL sekali lagi berjaya mempamerkan salah satu persembahan menakjubkan dan pengurusnya sendiri, Juergen Klopp mengakui tidak pernah menyaksikan pasukan paling konsisten seperti ini.

Kemenangan 4-0 ke atas Southampton menyaksikan penyandang juara Liga Juara-Juara itu semakin hampir untuk mencipta sejarah untuk menjadi pasukan paling cemerlang dalam satu musim.

Mendahului dengan 22 mata dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) membuatkan Liverpool semakin hampir untuk mencipta sejarah kelab terbaik England, malah Klopp sendiri juga diajukan soalan oleh wartawan adakah beliau pernah melihat pasukan lain pernah mempamerkan aksi konsisten seperti ini.

“Saya tidak pernah menyaksikannya. Jika saya bukan jurulatih kelab ini, saya juga akan bertanyakan perkara yang sama.

“Ia bukan bermaksud saya berasa sangat kuat dan semakin kuat selepas setiap kemenangan. Selepas meraikan kemenangan, kami akan berasa lega, semunya selesai dan selepas itu akan cuba lagi untuk aksi seterusnya.

“Kami bukannya sempurna, malah masih jauh untuk menjadi semakin sempurna. Kami hanya mahu memberikan yang terbaik dengan menggunakan kemahiran yang ada melalui cara paling sesuai.

“Anak buah saya sudah mempamerkan tugas yang baik buat masa sekarang dan disebabkan itu semakin hampir untuk mencipta rekod namun kami tidak rasa ia sesuatu yang istimewa, ia lebih kepada kerja keras membuahkan hasil,” kata Klopp.

Mengumpul 73 mata daripada 25 perlawanan tanpa kalah dan hanya seri sekali, adalah pencapaian paling cemerlang dalam sejarah lima liga terbaik Eropah.

Mereka berada pada landasan terbaik untuk menyamai pencapaian yang dicatatkan Arsenal pada musim 2003/04 yang digelar ‘Invincibles’ iaitu tidak kalah sepanjang musim.

Kemenangan Sabtu ini di Anfield bermakna mereka akan menyamai rekod Manchester City bagi era EPL.

Disiarkan pada: February 2, 2020 @ 8:39am
d