arena

Neymar, Mbappe buat Tuchel pening

Oleh AFP

JURULATIH Paris Saint-Germain, Thomas Tuchel mengakui sambutan ulang tahun Neymar akan mengganggu mereka pada saat penting musim ini walaupun pemain antarabangsa Brazil itu membantu pendahulu Ligue 1 itu menang 5-0 ke atas Montpellier semalam.

Neymar, dengan rambutnya berwarna merah jambu, lebih terbabit dalam insiden kecederaan menggerunkan dan bertegang leher dengan pengadil.

Sedangkan Pablo Sarabia, Angel Di Maria, Kylian Mbappe dan Layvin Kurzawa semuanya menyumbangkan jaringan untuk PSG untuk kekal di persada liga dengan kelebihan tiga mata ke atas Marseille.

Hari ini, Neymar bersedia untuk menganjurkan sambutan hari jadi mewah bagi ulang tahun ke-28 di kelab malam Parisian, walaupun pasukannya akan turun sekali beraksi menentang Nantes Selasa depan.

“Ia satu gangguan. Saya memang sentiasa melindungi pemain saya dan jika ada perkara penting untuk dibincangkan saya lebih suka selesaikan secara dalaman.

“Ini akan menjadi satu gangguan dan mereka akan memberikan kami gambaran tidak serius serta kurang profesional. Bagaimanapun, saya tidak mahu bercakap mengenai perkara ini takut ia menjadi isu besar,” kata Tuchel.

Neymar memanaskan badan dengan memakai kemeja T tertera nama Kobe Bryant dan bernombor 24 sempena nombor jersi bintang bola keranjang itu, yang terkorban dalam nahas helikopter terhempas hujung minggu lalu.

Walaupun tidak menjaringkan gol dan melakukan satu hantaran menghasilkan jaringan, dia mempamerkan kemahiran menggelecek seperti biasa, melakukan provokasi terhadap pemain lawan dan mendapat rawatan dalam tempoh lawan di hujung separuh masa pertama.

Kurang senang dengan layanan yang diberikan terhadapnya, Neymar dilayangkan kad kuning pada separuh masa pertama dan dirakam kamera televisyen mengeluarkan kata-kata kesat dalam bahasa Portugis terhadap pengadil keempat di terowong ke bilik persalinan.

Tuchel juga ditanya mengenai reaksi tidak puas hati Mbappe yang marah dikeluarkan pada pertengahan aksi separuh masa kedua.

“Ia nampak seperti tidak bagus, namun kami bukannya pasukan yang mahu pemain memberi reaksi seperti itu.

“Pasukan ini manu menunjukkan bahawa pemain sentiasa profesional dan fokus setiap hari. Bagaimanapun, ini memberi gambaran bahawa bukan setiap hari mereka mampu berbuat demikian dan saya sedih kerana ia tidak sepatutnya berlaku.

“Saya menerangkan kepadanya kenapa dia perlu dikeluarkan. Saya sentiasa membuat keputusan dengan bersebab. Ini bola sepak, bukannya tenis dan anda harus menghormati semua orang,” kata Tuchel.

Disiarkan pada: February 2, 2020 @ 11:16am
d