arena

'Payunglah sikit...'

Oleh Aida Adilah Mat

PEMAIN boling wanita negara, Sin Li Jane berharap sokongan dapat diberikan kepada barisan pemain negara untuk menyertai Siri Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) di Amerika Syarikat (AS).

Li Jane berkata, tahun lalu dia terpaksa mengeluarkan wang sendiri yang dianggarkan RM25,000 hingga RM30,000 seorang ke kejohanan berkenaan selepas tidak mendapat bantuan daripada kerajaan.

Katanya, penyertaan di PWBA banyak membantu mempertingkatkan skil permainan justeru amat penting bagi dirinya dan rakan seperjuangan untuk terus menyertainya.

“Saya amat berharap kerajaan akan memberi bantuan kepada kami untuk menyertai PWBA tahun ini. Tahun lalu kami (Shalin Zulkifli, Esther Cheah dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman) mengeluarkan wang sendiri, tapi tahun ini perbelanjaan semakin meningkat, jadi kami harap kerajaan akan membantu kami.

“Kejohanan itu banyak membantu kami untuk terus kekal konsisten bersaing dengan atlet profesional yang lain. Secara peribadi, saya rasa pertandingan ini sangat penting untuk kita menguasai dunia,” katanya.

Pemenang pingat emas Kejohanan Dunia 2017, Li Jane berkata, dia akan menyertai pertandingan PWBA buat kali kelima April depan yang mula disertainya sejak 2016.

Sementara itu, seorang lagi atlet boling negara, Adrian Ang kini mahu memastikan 2020 menjadi tahun gemilang buat dirinya dan negara.

Bakal menyertai Terbuka Malaysia ke-41 bermula 26 Mac hingga 4 April depan di Sunway Mega Lanes, Adrian meletakkan sasaran menghuni podium selepas terlepas peluang menyumbangkan pingat buat negara di temasya Sukan SEA Filipina yang lalu.

Kata Adrian, dia mengharapkan tahun 2020 lebih banyak kejayaan dilakarkan dengan bantuan penuh disalurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

“Saya masih belum mendapat jadual penuh kejohanan, tapi yang pasti akan menyertai pertandingan Terbuka Malaysia Mac depan.

“Seperti biasa, cabaran sememangnya sukar, tapi saya akan cuba kerana tiada apa yang mustahil sekiranya sudah melakukan yang terbaik,” katanya.

Disiarkan pada: February 3, 2020 @ 6:02am
d