arena

Nasib malang Singa Utara

Oleh Syazwan Msar

MALANG menimpa Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) apabila badan induk bola sepak negeri itu tidak dibenarkan menubuh atau menguruskan pasukan bola sepak lain untuk bersaing di Liga Malaysia pada musim ini.

Ini bermakna pasukan yang menggunakan nama Perlis atau entiti seperti Singa Utara atau Perlis Northern Lions perlu bebas daripada pengaruh atau pengurusan PFA bagi memastikan tidak dikenakan tindakan susulan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Perkara terbabit disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam apabila pihaknya akan memantau pasukan yang menggunakan nama Perlis bagi memastikan mereka tiada kaitan dengan PFA.

Beliau berkata, FIFA akan mengambil tindakan susulan termasuk melakukan siasatan terhadap pasukan yang disyaki mempunyai kaitan dengan PFA.

“FIFA boleh ambil tindakan kepada pasukan daripada PFA kerana penyertaan mereka dalam liga tak boleh wujud sehingga hutang selesai sampai bayar.

“Jika ada ahli gabungan PFA mahu menubuhkan pasukan menggunakan nama Perlis tiada masalah, namun tidak boleh pengurusan daripada badan induk bola sepak negeri terbabit.

“Walaupun PFA menukar nama lain atau tubuh pasukan baharu untuk bersaing dalam Liga Malaysia, namun mereka sudah pasti tidak terlepas daripada tindakan daripada FIFA,” katanya ketika ditemui Arena Metro. Difahamkan setakat ini, tiga pasukan menggunakan nama Perlis iaitu membabitkan Perlis United, Kuala Perlis FC dan Northern Lion FC yang bersaing di Liga M3.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan PFA sehingga kini masih lagi tidak mempunyai struktur pengurusan sistematik dan kukuh seterusnya tiada sebarang pembangunan bola sepak dan gerak kerja dapat dilaksanakan sejak setahun lalu.

Lebih memburukkan keadaan PFA juga dipercayai digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak oleh FIFA sejak awal 2019.

Disiarkan pada: February 3, 2020 @ 7:01am
d